14/09/2010 21:41

Permaianan Bahasa

Permaianan Bahasa

Permainan bahasa adalah cara mempelajari bahasa melalui permainan. Teknik ini sesuai digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah. Teknik ini juga adalah satu strategi pengajaran yang sesuai digunakan pada pelbagai tahap pencapaian pelajar. Permainan bahasa bukanlah merupakan aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan ada hubung kaitnya dengan kandungan isi pelajaran secara langsung atau tidak langsung.

 Objektif Permainan Bahasa

Permainan bahasa yang diintegrasikan dalam pengajaran seharusnya mempunyai beberapa objektif yang tentu. Antaranya seperti yang berikut:

(a) Merangsang interaksi verbal pelajar

Dalam permainan, pelajar akan diminta bercakap untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. Di samping itu, mereka juga diminta memberikan alasan-alasan tertentu yang berkaitan. Lazimnya, mereka perlu terlibat sepenuhnya secara aktif dalam permainan itu dan guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan menjaga disiplin kelas.

 

(b) Menambah kefasihan dan keyakinan

Bahasa yang digunakan dalam sesuatu permainan itu tidak harus terhad kepada beberapa struktur ayat sahaja. Oleh itu, permainan bahasa boleh digunakan sebagai satu cara untuk meningkatkan kefasihan berbahasa serta menambahkan keyakinan diri. Permainan yang mengandungi kegiatan memberikan arahan umpamanya, boleh dimainkan pada semua peringkat bergantung pada pengetahuan bahasa dan kefasihan tertentu pelajar.

 

(c) Menyediakan konteks pembelajaran

Permainan bahasa membantu merapatkan hubungan dan kerjasama antara individu yang terlibat, antara pelajar dengan pelajar dan juga antara pelajar dengan guru. Ini merupakan satu suasana yang sihat dan berfaedah kepada para pelajar, khususnya yang bersifat pemalu dan pasif. Dalam permainan, mereka dapat menunjukkan kecergasan, di samping terlibat secara berkesan dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan.

(d) Alat mengikis rasa bosan

Pada waktu menjelang tengah hari, pelajar akan merasa bosan, mengantuk dan lapar. Bayangkan sahaja bagaimana guru dapat menyampaikan pengetahuan tentang tatabahasa dan aspek-aspek pemahaman dalam keadaan yang melesukan. Begitu juga dengan aktiviti kelas yang melibatkan penulisan karangan dan pembentukkan ayat-ayat. Permainan mewujudkan komunikasi dalam bentuk yang semula jadi dan memenuhi keperluan pelajar apabila berhadapan dengan dunia sebenar.

(e) Alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan

Permainan sangat berguna dalam aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Kebanyakan pelajar yang lemah menghadapi masalah pengamatan dan pendengaran. Kelemahan ini dapat diatasi sedikit demi sedikit melalui aktiviti permainan yang dirancangkan. Jika tiada langkah yang diambil untuk mengatasi kelemahan ini, pelajar berkenaan akan menemui kesukaran menyebut bunyi, huruf, membunyikan suku kata dan perkataan.

 Kelebihan Permainan Bahasa

Sebagai satu teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, permainan bahasa mempunyai kelebihan. Antaranya seperti yang berikut:

(a) Untuk membolehkan pelajar membiasakan diri menyebut sesuatu bunyi

(perkataan, frasa dan ayat) dengan jelas, betul dan tepat.

(b) Permainan bahasa dijadikan bahan rangsangan sama ada semasa.

(c)  memulakan sesuatu pelajaran, pada pertengahan atau akhir pembelajaran. Sebagai bahan rangsangan, permainan bahasa tentunya dapat menarik minat dan perhatian pelajar.

(c) Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, permainan bahasa lebih

merupakan teknik mengulang kaji dan pengukuhan.

(d) Masa untuk permainan bahasa dianggap sebagai masa istirehat yang

berfaedah. Teknik ini berupaya menghilangkan rasa letih dan bosan setelah belajar sehari suntuk.

(e) Pelajar berpeluang menggunakan kemahiran bahasa yang ada pada mereka

dalam konteks dan situasi sebenar dan bermakna.

 

Kesimpulannya, permainan bahasa lebih menekankan semangat bekerjasama dan bukan pertandingan semata-mata. Pelajar bekerjasama dalam menyempurnakan tugas tertentu yang mendorong mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain. Permainan adalah satu cabaran untuk mencapai satu-satu matlamat atau melaksanakan beberapa tugas yang menarik dengan jayanya. Oleh itu, permainan harus berupaya memberikan motivasi yang tinggi dan bukan hanya setakat bertanding. Permainan bahasa dapat meningkatkan motivasi, membantu proses sosialisasi dan menyatukan pelajar daripada aras kebolehan yang berbeza-beza.

Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Biasanya, empat hingga enam orang pemain dalam satu kumpulan sudah memadai. Bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan adalah penting dalam menentukan kelancaran permainan.

Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam melibatkan penyertaan pelajar. Permainan bahasa secara berpasangan boleh memberikan lebih banyak peluang latihan mendengar dan bertutur.

Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini biasanya dilakukan untuk pelajar yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan tugas yang diberikan oleh guru dalam sesuatu masa tertentu.

—————

Back


Contact

Mansormd